Nama Kartika Sari Dewi Shukarnor tiba-tiba sahaja meletup, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Dunia Barat khususnya memang tidak mahu lengah sedikit pun untuk membicarakan kes Kartika ini. Apakah istimewanya isu ini? Kartika, 32, seorang model yang berasal dari Sungai Siput, Perak telah dituduh meminum arak berjenama ‘Tiger Beer’ di Cherating Bay Lounge, Hotel Legend, Cherating Pahang 11 Julai tahun lalu. Dia mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman denda oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan sebanyak RM5,000 dan sebatan 6 kali. Kartika telah pun membayar denda dan bersedia untuk menghadapi sebatan. Namun, setelah dia dibawa di dalam perjalanan untuk menuju penjara Kajang di mana dia sepatutnya disebat, tiba-tiba hukuman terhadapnya diisytihar tangguh. Persoalan hukuman (sebatan) dan penangguhan inilah yang telah mencetuskan kekecohan di Malaysia khasnya dan di seluruh dunia amnya. Antara ‘wayang kulit’ awal yang berlaku dalam kes ini adalah alasan penangguhan yang dikatakan bagi menghormati bulan Ramadhan.